Sudah sekian lama ingin ku coretkan kisah ini untuk dikongsi bersama. Baru kini mendapat kekuatan untuk melakarkan secebis kenangan aku terhadapnya.
Lebih mesra dipanggil ”Mak Nek”. Dialah nenek ku dunia akhirat. Siang malam silih berganti, tidak terasa sudah 5 bulan dia meninggalkan kami, kembali kepada yang Hak. Tidak pernah kering air mata ini apabila mengenang segunung kisah pahit manis, selautan kasih sayang yang dicurahkan semasa hayatnya. Tak terbalas rasanya. Hanya doa yang dapat kami hadiahkan kepadanya.
Penghujung Ogos 2008, pemula segala kesedihan. Mak Nek jatuh sakit. Difikir sakit biasa, sebab sebelum itu, dia selalu juga jatuh sakit. Tetapi tidak lama. Sehari dua pasti kebah. Itu telahan kami. Tapi semenjak saat itu, sakitnya kian tenat. Pelbagai usaha dibuat untuk menyembuhkannya. Terdetik di dalam hati anak-anak dan cucu-cucunya, adalah mustahil untuk menemui jalan kesembuhan. Di akhir-akhir usianya, berjalan dipimpin, makan bersuap, dimandikan dengan penuh kelembutan. Semuanya, dari hujung rambut hingga hujung kaki dilakukan dengan sabar. Teringat lagi hari Ahad, aku ditelefon oleh adikku mengatakan nenek sudah tidak dapat makan lagi. Bergegas turun ke rumah nenek, membantu sekadar termampu. Kenangan terindah, sempat aku mengunting rambutnya yang panjang pada pagi itu. Mengalir air mata meminta izin. Lemah anggukannya. Bergenang airmatanya, sukar untuk ditafsir. Jika masa sihat, jangan bermimpi dapat menggunting rambutnya, katanya susah hendak bersangul. Itulah kehebatan perempuan Melayu tulen. Bersanggul kemas disemat bunga cempaka. Tersenyum sendirian apabila mengenangnya. Dalam lewat usia pun nenek ku suka mendandan dirinya.
Bulan Ramadhan 1429H menjenguk tiba. Umat-umat Islam berpuasa, tapi nenekku terlantar sakit. Bercakap pun payah, hanya termampu berbaring. Teringat aku satu malam aku berbisik di telinganya ketika hendak menyuap bubur nasi yang dicairkan, ”Nek, makan. Biar cepat sembuh, dapat kita beraya sama-sama.” Hiba dan teramat sedih kami di sekelilingnya melihat airmatanya berguguran. Mungkin dia sudah mengetahui, janji itu adalah mustahil. Di akhir-akhir hayat, mak nek sudah tidak mengenali orang-orang di sekeliling. Terbujur kaku, tangan berdakap di dada, suara terketar-ketar yang tidak difahami butir-butir bicaranya. Seolah dia telah bersedia untuk dijemput pulang oleh Penciptanya. Tanggal 11 ramadhan 1429H bersamaan 11 September 2008 (Khamis) jam 5.20 petang, mak nek dijemput pulang oleh yang Hak dengan aman. Dikelilingi oleh anak-anak, menantu dan segelintir cucu-cucunya. Terkisah cerita sebelum dijemput kembali sempat dia melihat ke kiri kanan melihat anak-anaknya sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Bagai tidak percaya itulah tatapan terakhirnya.
Di hari pengekebumiannya, selesai sahaja solat Jumaat setelah jenazahnya disembahyangkan di Masjid Jamek. Kami telah sedia menanti di perkuburan. Jika itulah saatuya, itulah hari untuk kami menabur khidmat terakhir kami terhadapnya. Bersedekahkan Fatihah dan tanah-tanah yang telah dikepal, masing-masing bersedekah kepadanya sebelum jasadnya ditimbusi tanah. Semasa talkin dibaca, dalam suasana hening, dengan buaian angin petang, entah dari mana terhidu haruman yang sukar hendak dihuraikan. Jemaah yang hadir semuanya terpaku, masing-masing dengan andaian. Kami hanya berpandangan tidak berani berkata-kata. Jika itu bahagian mak nek, doa kami bahagialah dia di sana. Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Kita makhlukNya hanya dapat berharap yang terbaik daripadaNya. Kepada mak nek, tenanglah menghadap Maha Pencipta. Insyaallah, satu masa kita akan bertemu kembali sebagaimana tidak putusnya kasih sayang dan ingatan kami kepadamu. Al-Fatihah.
Saturday, January 31, 2009
Semanis Ingatanku Kepadanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment